Polis berhak semak telefon bimbit orang awam - Azis Jamman
  • 4 years ago
PARLIMEN l Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai hak untuk menyemak telefon bimbit orang awam untuk memastikan tiada sebarang bentuk komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam keselamatan orang lain dan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata perkara itu dibenarkan untuk menjaga ketenteraman awam berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Bagaimanapun orang ramai perlu tahu hak mereka semasa semakan rambang dilakukan termasuk boleh meminta identiti pegawai polis yang melakukan pemeriksaan sebagai rekod jika ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sesi jawab lisan Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) yang bertanyakan sama ada terdapat laporan pelanggaran SOP dilakukan terhadap pihak polis semasa menyemak telefon bimbit orang awam.


Katanya jika orang awam merasakan ada pelanggaran SOP dilakukan oleh pihak polis, mereka boleh membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran atau di Bukit Aman.