Guna kamera pada badan elak salah laku penguat kuasa - Mahathir
  • 5 years ago
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat.

"Pegawai akan pasang kamera di badan dia dan apabila dia bercakap atau orang bercakap boleh rekod. Kita boleh lihat apa yang dilakukan oleh pegawai ke atas pelanggan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di Putrajaya, hari ini.

"Sudah tentu pegawai itu akan menafikannya tetapi pelanggan akan menegaskan bahawa dia telah dipukul, jadi antara kedua-dua mereka kita ingin tahu siapa yang betul.

"Apabila kita mempunyai kamera kita akan tahu sama ada dakwaan terhadap pegawai berkenaan ada asas ataupun tidak," kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata tarikh pelaksanaannya belum diputuskan memandangkan ia melibatkan kos kepada kerajaan.