Seramai 4,860 individu ditahan kerana rasuah, 46% daripadanya adalah penjawat awam
  • 5 years ago
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata rasuah secara beransur-ansur boleh berkurangan apabila kepemimpinan teras sesebuah negara bersih.

Beliau berkata, data baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana rasuah dari 2014 hingga Jun 2019 ialah penjawat awam dan ini sangat membimbangkan.

Saifuddin berkata, kajian oleh SPRM juga mendapati bahawa 22.1 peratus daripada responden dalam perkhidmatan awam menyatakan mereka sanggup menerima rasuah jika mereka mempunyai kuasa atau kedudukan.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan segera bagi kerajaan untuk menggerakkan usaha membanteras rasuah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan tegas dalam komitmennya untuk memerangi rasuah dengan pelbagai langkah diambil oleh kerajaan dan SPRM untuk menghapuskan rasuah di negara ini.