'Jadi PM bukan macam pakai kasut yang sekejap-sekejap boleh ditukar'

  • 5 years ago
Peralihan jawatan Perdana Menteri tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana proses itu bukan semudah mahu menukar kasut, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Kata Abdul Hadi, soal tersebut tidak seharusnya terus dibangkitkan dan menjadi keutamaan segelintir pemimpin Pakatan Harapan (PH), sebaliknya apa yang lebih mustahak adalah memberi fokus terhadap usaha mengotakan janji-janji kepada rakyat yang sehingga kini masih gagal ditunaikan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di kediamannya sejurus selesai program Daurah Kitab Kupasan Berpolitik daripada Kalam Wahyu (Tafsir al-Quran) sempena Ihtifal Idul Ilmi Maahad Darul Quran (MDQ) Ke-28 di Masjid Rusila pada Selasa.

Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata, Dr Mahathir Mohamad tidak wajar dipaksa melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana beliau telah memimpin PH pada pilihan raya lalu dan dipilih majoriti rakyat.

Di samping itu, beliau juga pernah menyatakan yang Perdana Menteri ketujuh itu tidak sepatutnya meletakkan jawatan jika hanya mahu memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Terbaharu, katanya, Pas dan Umno sebagaimana pendirian yang diputuskan sebelum ini akan memberikan dukungan penuh kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Kenyataan itu dialu-alukan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dalam laporan akhbar semalam.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengalu-alukan kenyataan Abdul Hadi sambil menyifatkan pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah dilontarkannya supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.