Mahkamah izin hukuman penjara Wan Ji ditangguh
  • 5 years ago
Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan penangguhan hukuman penjara atas kesalahan menghasut.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas menerima permohonan dikemukakan peguam Radzlan Jalaluddin.

Pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Terdahulu pada 9 Julai lalu Abdul Halim mendapati Wan Ji bersalah menghasut dan menanam kebencian rakyat terhadap institusi raja-raja.

Abdul Halim kemudian meminda hukuman penjara ke atas anggota PKR itu dengan menjadikannya setahun - berbanding sembilan bulan sebelum ini - selepas memberi pertimbangan kepada rayuan silang pihak pendakwaan.

Selepas membacakan keputusan mahkamah, Abdul Halim mengarahkan Wan Ji, 37, menjalani hukuman penjara bermula pada hari itu juga.

Permohonan lisan Radzlan untuk menangguhkan hukuman ditolak Abdul Halim dan beliau mengarahkan ia dibuat secara rasmi.

Wan Ji dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, iaitu kesalahan mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula sesuatu penerbitan menghasut.

Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000.
Recommended