Pematuhan garis panduan standard filem penghadang haba secara sukarela bermula esok
  • 5 years ago
Pematuhan terhadap Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan adalah secara sukarela bermula esok (20 Jun) sebelum peraturan mandatori berkenaan filem penghadang haba kenderaan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2020, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata dalam tempoh 'sukarela' itu produk filem penghadang haba kenderaan yang akan dijual disyorkan melalui ujian dan lulus berdasarkan standard MS2669, seterusnya mendapatkan pensijilan dan label berserta QR kod sebagai pengesahan daripada SIRIM sebelum dipasarkan.

Pihak industri boleh mendapatkan pensijilan dan menggunakan label beserta QR kod sebagai pengesahan di premis-premis perniagaan masing-masing secara sukarela dengan merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan SIRIM, katanya.

"Garis panduan ini dilancarkan sebagai panduan dan langkah didikan kepada pihak industri sebelum peraturan mandatori berkenaan filem penghadang haba kenderaan dikeluarkan,” katanya ketika melancarkan Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan itu hari ini.

Saifuddin berkata KPDNHEP mencadangkan supaya pensijilan dan pelabelan serta QR kod dikuatkuasakan apabila perintah mandatori dikeluarkan melalui punca kuasa perundangan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dalam tempoh setahun.

Walaupun garis panduan itu belum lagi dimandatorikan, pihak industri masih tertakluk kepada undang-undang sedia ada mengenai penandaan maklumat yang berkaitan pada label filem penghadang haba kenderaan iaitu Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, katanya.

Menurutnya, tindakan melekatkan label atau QR kod yang tidak disahkan oleh SIRIM, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 bagi orang persendirian atau RM250,000 bagi syarikat atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Beliau berkata langkah melancarkan garis panduan itu wajar ekoran 112 jumlah aduan yang diterima KPDNHEP pada 2019 setakat kini, berkaitan filem penghadang haba kenderaan melibatkan isu kualiti, prestasi, harga dan penipuan iklan.

"KPDNHEP memandang serius dan memberi keutamaan dalam isu kualiti barangan pengguna, terutamanya berkaitan lambakan barang-barang substandard di negara ini bagi mengelakkan pengguna terus ditipu," katanya. - Bernama