Jakim tak haram Pesta Ponggal, hanya beri garis panduan - Mujahid
  • 4 years ago
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mengharamkan mana-mana perayaan, termasuk Pesta Ponggal, tetapi hanya menyediakan garis panduan kepada umat Islam untuk menyertainya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid berkata, pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) berkenaan Pesta Ponggal, yang memetik pandangan Jakim, tidak dirangka dengan baik sehingga mencetuskan kontroversi.

"Saya ingin tegaskan dengan terang dan nyata, Jakim tak pernah mengharamkan apa-apa perayaan.

"Malah surat kami kepada KPM menyatakan dengan jelas ada cara untuk (orang Islam) menghadirinya untuk menghormati kaum lain. Ada etika untuk bagaimana menghadiri acara agama lain, ini perkara biasa.

"Tapi persoalan paling penting adalah mengapa pekeliling diberi tidak dirangka dengan baik. Tiba-tiba jadi masalah, siapa (yang kena)? Jakim," katanya kepada pemberita dalam satu program di Kementerian Kewangan hari ini.

Dalam pekeliling bertarikh 13 Januari 2020 yang dihantar kepada pengarah pendidikan di Jabatan Pendidikan Negeri, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Adzman Talib memaklumkan Jakim memutuskan orang Islam diharamkan menyertainya.

"Ponggal adalah perayaan bagi penganut Hindu. Oleh yang demikian, Jakim memutuskan haram bagi orang Muslim menyertai Pesta Ponggal terutama upacara memasak nasi susu," katanya.

Pekeliling itu turut menyertakan beberapa garis panduan oleh Jakim untuk orang Islam yang tiada pilihan selain menghadirinya, antaranya tidak memakai pakaian dan peralatan yang merujuk kepada perlambangan agama Hindu serta terlibat dalam ritualnya.

Garis panduan lain ialah dilarang memaki dan menghina tuhan agama tersebut, serta ucapan selamat disampaikan tanpa niat membelakangkan Islam.

Mujahid menegaskan Jakim hanya memberi pandangan selepas diminta oleh KPM.

KPM hari ini menjelaskan pihaknya tidak pernah menghalang perayaan itu diadakan di sekolah dan pekeliling dikeluarkan untuk mengurangkan kebimbangan ibu bapa murid beragama Islam dalam penglibatan mereka ketika sambutan itu.