'Jangan buat apa-apa telahan, yang sah dengar dari PDRM'
  • 5 years ago
Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi peringatan agar tiada tuduhan dilemparkan kepada mana-mana pihak berhubung isu kontroversi video seks didakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dengan Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz baru-baru ini.

Anwar mengingatkan semua pihak agar menghentikan spekulasi liar serta menyerahkan kes tersebut kepada polis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (Mimcoin) di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Isnin.

Dalam pada itu, Anwar juga menyatakan yang semua ahli-ahli parti masih bersatu padu menghadapi masalah tersebut.

Haziq baru-baru ini menggemparkan negara apabila mendakwa dia adalah individu dalam rakaman klip video seks yang dikaitkan dengan lelaki mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei.

Dalam pengakuannya sehari selepas video itu disebarkan, Haziq mendakwa kejadian itu dirakam tanpa pengetahuannya dan diedarkan sehari sebelumnya.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan klip video tersebut.

Azmin pula menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah jahat dengan niat untuk memusnahkan karier politiknya.
Recommended