Muhyiddin yakin PM akan bincang lantikan masa depan
  • 5 years ago
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin percaya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan membincangkan sebarang pelantikan masa depan dengan pemimpin Pakatan Harapan sebelum mengumumkannya.

Sambil mempertahankan pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, namun Muhyiddin bersetuju bahawa perbincangan awal sepatutnya diadakan.

“Tapi soal ini bukan nak mempertikaikan prerogatif, prerogatif sini adalah (Yang di-Pertuan) Agong, kita tak nak mempertikaikan lantikkan Agong atas nasihat PM.

“Cuma yang berbangkit sekarang (adalah) soal politik, orang mempersoalkan soal politik, politik pula ikut tafsiran masing-masing. Jadi bagi saya tak apa, ini satu pengalaman baik.

“Untuk ke hadapan, kalau ada lain lantikkan, mungkin saya yakin PM akan bincang dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) supaya mereka jugak faham dan tahu.

“(Tetapi) sebagai langkah terakhir itu keputusan PM untuk menasihatkan Agong,” katanya semasa sidang akhbar sempena Rumah Terbuka Hari Raya di Pagoh, Johor hari ini.

Sidang akhbar itu disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Menteri Dalam Negeri.

Mahathir sebelum ini mengakui bahawa beliau melantik Latheefa tanpa membincangkan perkara itu dengan kabinet kerana tidak mahu keputusan itu mengikatkan dirinya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata lantikan pada masa depan sepatutnya sejajar dengan manifesto pilihan raya PH.

Manifesto PH secara khusus menjanjikan penamatan campur tangan politik dan menyerahkan pelantikan jawatan utama perlu melalui jawatankuasa pilihan khas parlimen.
Recommended