Dewan tegang! MP PAS label Guan Eng pondan, dihalau keluar dewan
  • 5 years ago
Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary, diperintah meninggalkan Dewan Rakyat hari ini selepas enggan menarik balik kenyataan "pondan" ditujukan kepada Lim Guan Eng (PH-Bagan).




Sebelum itu berlaku pertikaman lidah di antara kedua-dua anggota parlimen berkenaan berhubung dakwaan Ahmad Marzuk bahawa "DAP menguasai kementerian kewangan dan kerajaan".




Isu itu timbul apabila wakil PAS berkenaan mempertikaikan dasar kerajaan membuka pintu kepada kontraktor semua bangsa bagi tender yang sebelum ini hanya dikhaskan kepada bumiputera.




Selepas berlaku kekecohan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon mengarahkan Ahmad Marzuk menarik balik kata-kata yang dilontarkan kepada menteri kewangan itu.

Mohd Rashid memberi arahan sebanyak tiga kali kepada Ahmad Marzuk supaya menarik balik kata-kata tersebut.




Apabila enggan Mohd Rashid akhirnya mengarahkan Ahmad Marzuk keluar dan menggantungnya daripada hadir di Dewan Rakyat selama dua hari.




Sebagai tanda kebersamaan, anggota parlimen Umno turut bertindak keluar dari dewan dan mengiringi Ahmad Marzuk.