Gelar 'samseng', Dewan Rakyat tegang hampir sejam
  • 6 years ago
Sesi pembukaan perbahasan Parlimen ke-14 bermula dengan drama perang mulut di antara anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang selama hampir satu jam sehingga berlarutan ke waktu rehat.

Bezanya kali ini, perang mulut tersebut hampir menenggelamkan Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon, yang dilihat gagal mengawal keadaan.

Ia bermula sejurus selepas Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul Ghani yang membentangkan usul menjunjung terima kasih ucapan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Apabila membentangkan usul itu, Johari menggesa semua Ahli Parlimen mengambil perhatian terhadap saranan Agong bahawa wakil rakyat seharusnya menjaga tingkah laku sambil memetik beberapa contoh pada sesi lalu.

Kemudian Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mengimbas semula insiden pada 2009 di mana mendiang, Karpal Singh diserang sekumpulan Pemuda Umno.

Ramkarpal menyifatkan kumpulan Pemuda Umno sebagai 'samseng' dan ini menimbulkan protes dari pembangkang yang menggesa perkataan tersebut ditarik balik.

Bagaimanapun, Ramkarpal membuat pendirian bahawa beliau tidak akan menarik balik gelaran itu dan kekal dengan keputusannya.

Pada masa sama, bekas timbalan speaker Datuk Ismail Mohamed Said bangun dan cuba 'mengajar' Mohd Rashid berhubung isu Peraturan Mesyuarat.