'Masih 'on', kata Hisham mengenai tawaran cari Jho Low

  • 5 years ago
Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih menawarkan bantuan untuk membantu kerajaan memburu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dikehendaki pihak berkuasa dalam siasatan berhubung skandal 1MDB.

Ketika mengulangi tawaran itu, Hishammudddin mengakui bahawa bukan mudah mahu mengesan ahli perniagaan itu."Sudah tentu! Saya mahu mendapatkan kebenaran berhubung 1MDB.

"Saya konsisten tentang ini (tawaran bantu cari Jho Low) dan jika Jho Low penting (untuk siasatan), saya akan bantu, tapi ia bukan tugas yang boleh dilakukan seorang diri.

"Tidak semudah itu kerana ia melibatkan pihak ketiga, ia melibatkan kerajaan," kata ahli parlimen Sembrong itu.

Hishammuddin pertama kali memberi tawaran untuk mencari Jho Low Oktober tahun lalu, dengan menegaskan bahawa beliau ingin melihat kesudahan berhubung kes 1MDB.

Ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang petunjuk tentang usahanya, Hishammuddin hanya ketawa dan berkata mendedahkan kebenaran adalah perkara yang paling utama.