Tiada yang mustahil, kata Khalid mengenai rampasan kuasa di M'sia
  • 5 years ago
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata Malaysia tidak boleh menolak kemungkinan bahawa rampasan kuasa boleh berlaku di negara ini jika orang Melayu terpengaruh dan mempercayai kedudukan mereka dalam bahaya.

"Tiada yang mustahil.

"(Ini) khususnya apabila 70 peratus adalah penduduk Melayu dan jika mereka cukup terpengaruh dan mempercayai bahawa kedudukan mereka dalam bahaya. Seperti yang kamu ketahui, polis dan tentera juga adalah institusi berasaskan Melayu.

"Oleh itu, sangat penting bagi kita untuk menangani masalah ini dengan berhati-hati," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan rampasan kuasa berlaku di Malaysia susulan dakwaan kemungkinan kerajaan Perdana Menteri Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad digulingkan.

Katanya, Malaysia perlu lebih berhati-hati kerana negara ini mempunyai penduduk berbilang kaum yang lebih tinggi berbanding negara-negara lain.