Kerajaan setuju tubuh RCI siasat dakwaan hakim
  • 5 years ago
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan hakim Hamid Sultan Abu Bakcer.

"Kerajaan akan menubuhkan RCI dan terserah kepada mereka untuk menyiasat dakwaan yang dibuat hakim berkenaan," katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui wartawan di bangunan Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Namun perdana menteri berkata terma rujukan RCI berkenaan belum diputuskan.

Malaysiakini pada 14 Feb lalu melaporkan mengenai dakwaan Hamid - seorang hakim Mahkamah Rayuan - yang membuat beberapa dakwaan melibatkan badan kehakiman.

Antara lain beliau mendakwa ada hakim tertentu yang bekerjasama dengan pihak swasta untuk menipu wang rakyat.

"Saya memberikan contoh. Kerajaan akan membuat kontrak dengan seorang penama politik tanpa hasrat untuk menghormatinya.

"Selanjutnya kerajaan akan menamatkan kontrak tersebut dan penama akan menyaman kerajaan kerana melanggar kontrak.

"Kerajaan boleh merekodkan penghakiman persetujuan yang menerima liabiliti dan bersetuju untuk menilai ganti rugi," katanya.

Dalam pendedahan sama Hamid turut mendakwa hakim kanan tertentu bimbang dengan kemenangan PH pada pilihan raya umum lalu.