Menteri arah Suruhanjaya Tenaga siasat dakwaan bil elektrik mencanak
  • 5 years ago
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengarahkan Suruhanjaya Tenaga untuk menyiasat peningkatan dalam aduan mengenai bil elektrik yang didakwa meningkat dengan mencanak.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata suruhanjaya itu boleh memulakan prosiding undang-undang terhadap syarikat utiliti nasional, Tenaga Nasional Bhd (TNB) jika ia tidak memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990.

Kenyataan itu dibuat susulan laman Facebook TNB Careline dibanjiri dengan aduan pengguna berhubung bil elektrik mereka yang luar biasa tinggi.

Antara lain terdapat aduan pembacaan meter yang salah dan pembacaan meter dilakukan selepas tempoh 30 hari hingga mengakibatkan bil mencapai tahap pembayaran yang lebih tinggi.


Semalam, TNB mengeluarkan kenyataan yang meminta orang ramai berurusan terus dengan Kedai Tenaga berdekatan jika harga bil elektrik mereka naik mendadak.

Sementara itu, Yeo berkata aduan boleh difailkan dalam talian melalui laman web suruhanjaya berkenaan atau melalui e-mel.