Syarikat bina bangunan atas tanah kerajaan diminta tampil buat penjelasan
  • 5 years ago
Syarikat yang membina bangunan di atas 2 lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang diberi tempoh sehingga 31 Januari untuk tampil memberi penjelasan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata siasatan dalaman oleh Unit Integriti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati kedua-dua tanah berkeluasan 0.14 hektar iaitu Lot 568 merupakan milik Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan manakala Lot 716 adalah hak milik Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan bawah seliaan ketua setiausaha negara.

Katanya keputusan itu diambil pada mesyuarat hari ini untuk memberi peluang syarikat berkenaan mencadangkan jalan penyelesaian dan sekiranya tiada maklum balas diberikan maka tindakan selanjutnya boleh diambil.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat mengenai isu penyelewengan tanah itu, di Menara DBKL, semalam.

Pada 11 Januari, Khalid memaklumkan akan mendedahkan perincian mengenai penyelewengan dan salah guna kuasa yang dikesan pihaknya bulan lepas berhubung isu pembinaan bangunan di atas tanah kerajaan persekutuan.

Pada sidang media itu, Khalid juga berkata laporan mengenai penyelewengan tanah tersebut akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pihak atau individu yang terlibat atas kewujudan “bangunan misteri” di tanah bernilai hampir RM20 juta terbabit.

Katanya tidak wajar pihak berkuasa pada ketika itu mengatakan tidak tahu tentang penyelewengan yang berlaku memandangkan terdapat bantahan dibuat oleh 2 Ahli Parlimen pada masa itu dan kes berkenaan turut mendapat liputan media.

Ketika ditanya sama ada pemilik asal tanah pernah mengambil tindakan berhubung perkara itu, Khalid berkata kemungkinan pemilik tidak “berupaya” untuk mengambil sebarang tindakan bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Arahan bagi meluluskan pembinaan bangunan pejabat dan restoran termasuk gerai buah-buahan yang dipercayai milik syarikat tempatan di atas kedua-dua lot tanah itu dibuat pada 2016 dan kerja pembinaan siap pada Februari tahun lepas.

Khalid berkata pencerobohan tanah tersebut bukan satu-satunya kes yang berlaku di Kuala Lumpur dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi kes seumpama itu yang akan dibongkarkan selepas ini.