Najib, Rosmah nafi berkonspirasi terhadap Deepak

  • 5 years ago
Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menafikan dakwaan konspirasi untuk menipu saudagar permaidani Deepak Jaikishan berkaitan sebidang tanah bernilai tinggi di Bukit raja.

Dakwaan itu dibuat dalam saman RM576 juta terhadap mereka dan dua pihak lagi.

Najib dan pasangannya berkata demikian dalam permohonan untuk mengetepikan saman Deepak yang difailkan pada 7 Januari.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

Boustead Holdings Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya Bakti Wira Sdn. Bhd. bulan lalu telah memfailkan permohonan berasingan untuk mengetepikan saman Deepak.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Shuhada Ramli menetapkan 4 April untuk mendengar permohonan mengetepikan saman itu di hadapan hakim Azimah Omar.

Deepak dalam samannya Oktober lalu mendakwa Najib, Rosmah, Boustead dan Bakti Wira telah berkonspirasi untuk campur tangan dalam rundingan hartanah yang dikatakan menyebabkan syarikat Deepak rugi besar.