Suaram kecam HARAPAN kurang tegas: Polis bantu K'tan roboh sekatan Orang Asli

  • 6 years ago
NGO hak asasi manusia, Suaram mengkritik kerajaan Pakatan Harapan hari ini kerana kurang bertegas terhadap kerajaan negeri Kelantan, pimpinan PAS dan membenarkan agensi persekutuan terlibat dalam perobohan sekatan yang didirikan masyarakat Orang Asli di gua Musang.

Masyarakat Temiar dilaporkan membina sekatan terhadap syarikat perladangan durian Musang King bagi menuntuk hak tanah adat mereka yang enggan diiktiraf kerajaan Kelantan.

"Selain kerajaan negeri Kelantan yang tidak mempedulikan hak asasi manusia dan alam sekitar, kerajaan persekutuan juga gagal memberi sebarang tekanan dan berunding dengan menyelesaikan perkara tersebut dengan Kelantan.

"Jaminan dan komitmen kerajaan persekutuan dikhianati oleh fakta bahawa pihak Polis DiRaja Malaysia telah mengambil peranan dalam menyokong perobohan sekatan di Gua Musang itu," kata pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai penguat kuasa, termasuk polis, mengawasi perobohan sekatan pagi ini yang dikatakan menghalang syarikat durian itu masuk ke ladangnya.

Sevan berkata walaupun negara bakal menyambut hari kemerdekaan pada hari Jumaat ini tetapi kelihatan tiada "kemerdekaan" untuk masyarakat Orang Asli dan hak tanah mereka.

"Kerajaan yang diketuai oleh PAS di Kelantan mesti menyedari kewajipan Malaysia untuk hak asasi manusia antarabangsa terutama yang berkaitan dengan hak tanah adat masyarakat peribumi.

"Selain itu, kerajaan negeri Kelantan juga bertanggungjawab untuk mengambil kira kesan alam sekitar akibat daripada penebangan hutan yang berlaku di Kelantan yang telah menyumbang kepada pencemaran air dan banjir di negeri itu," katanya.