'Perisikan tidak harus terbabit dalam usaha menang PRU'

  • 6 years ago
Lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.

Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi secukupnya untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

Sumber rapat dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengesahkan surat berkenaan adalah sahih tetapi enggan mengulas lanjut.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa tidak tahu mengenai surat tersebut dan berkata risikan sepatutnya memastikan keselamatan negara dan bukan mengenai soal pilihan raya.

Bagaimanapun, memetik Malaysiakini, Najib berkata beliau tidak mengarahkan bahagian penyelidikan JPM untuk menulis surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS) bagi memohon sokongan negara itu, menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Bekas perdana menteri juga berkata beliau tidak tahu menahu berkaitan surat itu dan apa yang dilaporkan berkaitan surat-menyurat yang mencadangkan bertujuan mendapatkan sokongan AS selepas, bukan sebelum pilihan raya.