Koperal polis didakwa terima suapan

  • 6 tahun lalu
ALOR SETAR, 8 Ogos (Bernama) -- Seorang koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM1,300 hampir dua tahun lepas.
Koperal Mohamad Sukeri Othman, 35, yang bertugas di Pejabat Peronda Lebuhraya Zon Utara (Bandar Baharu-Changkat Jering) didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap V. Tamil Vanan kerana disyaki membawa arak tanpa cukai berbayar di dalam kereta jenis Toyota Avanza.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kedai Veerasamy Mini Market, F79 Pekan Lama, Lubok Buntar, Serdang, Bandar Baharu pada 10.09 pagi, 9 Nov 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.