LIMA 2015: Helikopter penyerang MD530G kecil-kecil cili api

  • 6 tahun lalu
LIMA 2015: Helikopter penyerang MD530G kecil-kecil cili api
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

LANGKAWI 19 Mac-Syarikat pembuat helicopter, MD Helicopters dari Amerika Syarikat membuat penampilan sulung dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015.

Dalam pameran pertamanya itu, MD Helicopters mempamerkan kehebatan dan kelincahan helikopter penyerang bersaiz kecil, MD530G.

Ketua Pegawai Komersial MD Helicopters Incorporation, Craig Kitchen berkata,Helikopter dua tempat duduk itu dilengkapi dengan sistem persenjataan dan peralatan misi yang canggih.

"Pesawat ini didatangkan dengan persenjataan FN Herstal HMP400.5 cal, mesin gun mini Dillon Aero 134H-D, pod roket FN Herstal RMP .50 cal dan roket 2.75," jelas Craig.

Menurut beliau helikopter MD530G dipamerkan di LIMA bagi memenuhi keperluan ketenteraan di rantau Asia.

Menurut Craig pesawat berkenaan telahpun digunakan di beberapa buah negara dan beliau yakin dengan pasaran Asia.

Jelas beliau, MD Helicopters akan kembali ke LIMA kerana pameran ini menyediakan platform terbaik kepada syarikat berkenaan.

Sementara itu juruvideo TV Utusan, Azman Ahmad yang diberikan peluang menaiki MD530G berkata, pesawat penyerang kecil tersebut benar-benar mengkagumkan.

Ini terutama kelajuan penerbangannya serta daya kawalan pesawat yang jitu dalam berhadapan dengan halangan.

"Pada mula-mula pesawat ini terbang agak mengerunkan kerana laju dan mampu membuat aksi aerobatik. Lebih mendebarkan kerana helikopter ini tidak mempunyai pintu. Pesawat ini kecil tetapi sangat berkuasa," kata Azman

Selain Azman, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor turut diberi peluang untuk melihat keupayaan helikopter penyerang tersebut.-UTUSAN ONLINE