Aksi 'The Pocket Rocketman' lakar rekod Asia

  • 6 years ago
Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang mencipta rekod baru Asia dalam acara pecut elit lelaki setelah mencatat kepantasan 9.774 saat sewaktu pusingan kelayakan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 di Nilai, Isnin lalu.

Catatan yang membolehkan beliau mengungguli senarai pelumba pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai itu memadam rekod 9.843s yang dilakukan pelumba Jepun, Nitta Yudai di pentas kejohanan yang sama tahun lepas.

Pada masa sama, catatan itu turut memadamkan rekod kebangsaan 10.074s miliknya yang dirakam pada edisi 2016 ACC di Jepun.

Pelumba yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu berkata pada awalnya misi utama adalah membuat catatan masa di bawah 10s dan langsung tidak menjangka mampu merekodkan kepantasan sehingga 9.774s memandangkan 9.8s adalah sasaran masa terpantas realisitik yang mampu dicapai.

Atlet kelahiran Dungun, Terengganu berusia 30 tahun itu sebelum ini merangkul pingat gangsa dalam acara keirin pada kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lepas. -Bernama

Recommended