Nekad terjun walau dihalang

  • 7 years ago
Tindakan seorang wanita nekad terjun melalui tingkap di aras 5 di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star pada Selasa lalu, mengundang kejutan orang ramai dan beberapa jururawat di hospital berkenaan.

Terjunan wanita yang berusia 33 tahun itu, bagaimanapun, terjatuh mengenai bumbung tingkat dua dan mangsa hanya mengalami kecederaan tulang belakang.

Dalam video berdurasi 22 saat yang tular di media sosial menunjukkan wanita terbabit berdiri di luar tingkap dan mengancam mahu melakukan terjunan.

Ketika beberapa jururawat cuba memujuknya, wanita itu nekad terjun sehingga terdengar bunyi hentakan apabila jatuh di tingkat dua bumbung di video tersebut.

Kejadian itu berlaku sekitar 5.30 petang semasa waktu melawat hospital.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Norhizan Ismail berkata wanita itu datang ke hospital berkenaan kerana mahu melawat rakannya yang dimasukkan ke wad.

"Imbasan X-ray menunjukkan wanita itu cedera tulang belakang. Dia kini berada dalam keadaan stabil dan kami akan melakukan beberapa ujian terhadapnya," katanya.