Kisah 'peminat Tunku Aminah' sentuh hati keluarga diraja Johor
  • 7 years ago
Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah semalam berkenan menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Aidil Shazwan Abdul Karim yang maut dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Baginda tiba di kediaman keluarga itu di Skudai pada jam 3 petang diiringi paduka anakanda, YAM Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Encik Dennis Muhammad Abdullah.

Allahyarham Muhammad Aidil, 22, adalah antara 1,200 tetamu yang dijemput menghadiri Istiadat Perkahwinan DiRaja di Istana Besar Johor Bahru pada 14 Ogos yang lalu.

Kisah Muhammad Aidil yang merupakan peminat Tunku Tun Aminah tular sebelum ini di mana Allahyarham dikatakan mencuba setiap malam baju melayu yang akan dipakai untuk Istiadat Perkahwinan DiRaja namum tidak kesampaian apabila meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum majis berkenaan.