Peguam cabar polis, SPRM buka balik siasatan 1MDB

  • 7 years ago
Seorang peguam hari ini mencabar polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kembali siasatan terhadap 1MDB dan bekas anak syarikatnya RC International Sdn Bhd.

Gesaan itu dibuat susulan saman sivil terbaru Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS) yang mahu merampas aset-aset berkaitan 1MDB, minggu lepas.

Haniff Khatri Abdulla juga menggesa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali untuk bekerjasama dengan DOJ dan rakan sejawatnya di AS untuk mengumpulkan maklumat bagi membantu siasatan polis dan SPRM sebelum 31 Julai ini.

Haniff juga berkata, Apandi patut melantik pasukan pendakwaan khas diketuai oleh seorang timbalan pendakwa raya (DPP) kanan atau peguam kanan untuk menilai kertas siasatan itu secara bebas.

Haniff berkata Apandi sendiri tidak patut mengetuai pasukan itu kerana beliau didakwa mempunyai percanggahan kepentingan apabila “bertindak sebagai peguam peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak”.