Sekumpulan lelaki bergaduh berhampiran Hospital Ampang

  • 7 years ago
Dua lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan berkumpulan berhampiran Hospital Ampang dekat sini awal pagi tadi.

Dalam rakaman video yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki berlari dan menyerbu beberapa lelaki lain dan bergaduh sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 pagi itu, sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah mendapati sekumpulan 80 lelaki bergaduh berhampiran hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, anggota berkenaan telah menghampiri kumpulan lelaki tersebut dan mengarahkan supaya mereka bersurai namun arahan itu tidak diendahkan.

“Mereka telah bergaduh dan memukul menggunakan topi keledar sesama sendiri. Justeru anggota berkenaan telah menahan seorang suspek sebelum menangkap seorang lagi lelaki yang berlari menggunakan parang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, kedua-dua suspek berusia 28 tahun dan 33 tahun itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut.

“Dua lelaki itu ditahan reman sehingga Rabu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” ujarnya.

Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.