MOF sahkan hutang negara RM1.2 trilion, tapi bukan bankrap

  • 4 years ago
Kementerian Kewangan hari ini mengesahkan hutang negara adalah sebanyak RM1.2 trilion seperti yang pernah diumumkan ketika kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Bagaimanapun menurut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ini tidak bermakna negara akan bankrap kerana ia termasuk hutang luar perbelanjaan (off budget) yang wujud sebelum Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Tengku Zafrull turut menjelaskan ini berbeza dengan hutang langsung kerajaan yang berjumlah RM854 bilion.

Beliau menjawab Tony Pua (PH-Damansara) yang bertanya mengenai jumlah liabiliti kerajaan termasuk hutang kerajaan persekutuan, jaminan kerajaan, dan pembayaran sewa untuk projek perkongsian awam-swasta (PPP) yang dilaksanakan di bawah Barisan Nasional.