Pasar Chow Kit patuh arahan topeng muka, tapi tiada jarak sosial
  • 4 years ago
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah mengeluarkan satu arahan semalam kepada semua pelesen, pekerja, pengunjung dan pembekal yang ingin memasuki pasar awam dan swasta sehingga 31 Mac ini.

Arahan tersebut adalah kesemua yang masuk ke pasar awam dan swasta dikehendaki memakai topeng muka dan mengamalkan jarak sosial sepanjang 1 meter.

Selain itu, pemilik kedai dan peniaga hendaklah bertanggungjawab mengawal bilangan pengunjung dalam pasaraya dan kedai runcit dalam satu-satu masa agar wujud jarak sosial.

Sekiranya arahan ini gagal dipatuhi, tindakan penutupan pasar raya, kedai runcit, restoran, pasar awam dan swasta akan dilaksanakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sementara itu, tinjauan KiniTV pagi tadi di pasar Chow Kit mendapati kebanyakan peniaga dan pengunjung pasar mematuhi arahan pemakaian topeng muka semasa melakukan aktiviti jual beli.

Bagaimanapun, orang ramai masih bebas keluar masuk seperti biasa dan tiada kawalan mengenai jarak sosial dilaksanakan seperti yang telah dilakukan di beberapa pasar awam lain.