IGP seloroh: Jika lama di E8, orang akan panggil 'Ayob pengganas'

  • 4 years ago
Sudah sampai masanya buat Ayob Khan Mydin Pitchay untuk berpindah daripada bahagian antikeganasan kerana sudah terlalu lama memegang jawatan itu, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Hamid diminta mengulas mengenai perpindahan Ayob daripada jawatan Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman dilantik menjadi Ketua Polis Johor yang baru berkuat kuasa 6 Mac ini.

"Bagi Ayob pula, dia sudah terlalu lama, kalau saya biarkan dia lagi sebulan dua orang akan panggil Ayob pengganas pula, sebab itu saja kerja dia," jelasnya berseloroh.

Menurut ketua polis negara lagi perpindahan itu bagi memberi peluang Ayob menimba pengalaman baru.

Sementara itu, beliau juga ditanya jika pertukaran Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman ada kaitan dengan kejadian kekecohan di majlis melibatkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Menjawab soalan itu, Abdul Hamid berkata sukar baginya untuk mengulas tetapi ia suatu kebetulan kerana pasukan itu sedang melakukan rombakan besar.