Enam ditahan disyaki terlibat kumpulan pengganas
  • 5 years ago
Polis menahan 6 individu termasuk 4 warga asing dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas menerusi beberapa operasi di Johor, Selangor dan Sabah dalam tempoh 19 Disember hingga 28 Januari lalu.Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara Tan Sri Muhamad Fuzi Harun berkata suspek yang diberkas oleh Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia tersebut merangkumi 2 warga tempatan serta masing-masing seorang dari Singapura, Bangladesh, Filipina dan sebuah negara di Asia Selatan.Tangkapan pertama dibuat pada 19 Dis di Johor Bahru melibatkan seorang ahli perniagaan warga Singapura berusia 48 tahun yang aktif berhubung dengan Akel Zainal, iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS di Syria.Suspek membantu menyalurkan dana kepada individu tersebut dan merekrut beberapa individu bagi tujuan melancarkan serangan ke atas bangunan Freemason di Johor Bahru.Beliau berkata pada tarikh sama, seorang lelaki pekerja pembersihan warga Bangladesh berusia 31 tahun ditahan di Klang, Selangor kerana dipercayai menyokong perjuangan kumpulan IS dan aktif menjalankan kegiatan merekrut individu di negara ini untuk menyertai kumpulan pengganas tersebut.Turut ditahan seorang lelaki warga Filipina berusia 21 tahun yang diberkas di Kota Kinabalu, Sabah.Menurut Fuzi, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu merupakan anggota kumpulan Abu Sayyaf dan menyusup masuk secara haram ke negara ini pada Mac 2018.Suspek mempunyai kemahiran mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan mempunyai hubungan dengan Furuji Indama - pemimpin kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina.Beliau berkata pada 10 Januari lalu, polis menahan 2 lelaki rakyat tempatan yang masing-masing berusia 38 tahun di Sepang, Selangor.Kedua-duanya yang bekerja sebagai pekerja ladang di sebuah negara diusir pulang ke Malaysia selepas ditangkap di negara berkenaan kerana terlibat memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS di Syria.Seorang suspek menyalurkan dana kepada Khairul Amizan Azmi - rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas IS di Syria.Terbaharu pada 28 Januari lepas, seorang lagi suspek berusia 26 tahun dan berasal dari sebuah negara di Asia Selatan ditahan di Puchong, Selangor kerana memberi perlindungan kepada seorang individu dari sebuah negara di Asia Selatan yang disenaraikan dalam Notis Merah Interpol kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan.Menurutnya, semua suspek yang ditangkap akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.