Gaji minimum RM1200 bermula 1 Februari ini

  • 4 years ago
Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata gaji minimum kadar gaji minimum RM1,200 sebulan bermula pada 1 Februari 2020.

Katanya, mesyuarat kabinet telah sebulat suara bersetuju untuk berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Terdahulu, kerajaan memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Kenyataan itu susulan pembentangan Belanjawan 2020 dan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Disember lalu berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di kawasan wilayah bandar utama.

Keputusan kerajaan meningkatkan gaji minimum bagi pekerja di wilayah bandar utama bagi membantu pekerja di kawasan itu berdepan kos sara hidup yang tinggi.

Bandar raya utama yang terbabit ialah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka Bersejarah, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, manakala bandar utama ialah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pasir Gudang, Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Kubang Pasu serta Kota Bharu.

Turut tersenarai ialah bandar Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol, Kuantan, Temerloh, Bentong, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Kangar, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Subang Jaya, Sepang, Kemaman, Dungun, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sandakan, Tawau, Labuan dan Putrajaya.