Polis nasihat turunkan tanglung di SMK Bandar Puchong - Teo
  • 4 years ago
Polis sekadar memberi nasihat kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong untuk menurunkan perhiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina, bukannya berbentuh arahan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata langkah itu difikirkan boleh meredakan keadaan selepas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, membuat kenyataan mendakwa perhiasan tersebut bertentangan dengan perlembagaan kerana mempunyai unsur agama.

"Ia adalah nasihat daripada polis, tapi saya percaya selepas siasatan penuh kami menegakkan prinsip bahawa sekolah adalah untuk kita menyambut semua perayaan.

"Selepas siasatan, ia didapati tidak menjadi ancaman kepada sebarang isu agama dan bangsa. Mesyuarat kabinet juga memastikan hal ini dan ia adalah pendirian kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu petang semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewagan, Lim Guan Eng; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar; Menteri Luar, Saifuddin Abdullah; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Terdahulu, Teo diminta menjelaskan keputusan pihak sekolah menurunkan tanglung yang digantung di pekarangan sekolah tersebut.

Mengulas lanjut, Teo berkata langkah berkenaan berupa nasihat dengan harapan tidak ada mana-mana pihak memperbesarkan isu tersebut.

Teo juga mengesahkan bahawa tiada aduan rasmi dibuat berkenaan dua guru sekolah tersebut yang dikatakan menyokong pendirian Putra dalam isu tersebut.