Doakan kes saya selesai dengan selamatnya - Bung Moktar
  • 4 years ago
Perbicaraan kes rasuah dihadapi Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad, bermula hari ini.

Semasa di perkarangan Mahkamah Sesyen, Bung sempat memberitahu petugas media supaya mendoakan kesnya ini selesai dengan selamatnya.

"Kepada yang melihat, doakan mudahan kes saya selesai dengan selamatnya." kata Bung.

Bung bersama isterinya kelihatan tenang menghadiri prosiding mahkamah hari ini.

Pada 3 Mei 2018, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isterinya, Zizie Izette.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu sebagai upah mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.