'Kalau tak tahu fakta, jangan buka mulut' Waythamoorthy kecam Senator BN T Mohan

  • 4 years ago
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy mengecam Senator BN, T Mohan kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadapnya berhubung perhimpunan Hindraf yang diadakan pada bulan November 2007.

Ini selepas Mohan mendakwa Waythamoorthy menggerakkan orang ramai untuk menghadiri perhimpunan Hindraf supaya mereka boleh 'menyaman mahkamah British' selepas perhimpunan tersebut.

Mohan membuat dakwaan itu ketika membahaskan Bajet 2020 di Dewan Negara baru-baru ini.

Memetik hansard Parlimen bertarikh 11 Dis, Waythamoorthy berkata Mohan juga menuduh beliau berbohong kepada masyarakat India.

"Dia buat tohmahan dan kenyataan palsu terhadap saya di Dewan Negara, yang nyatakan saya suruh orang ramai datang ke KL, dan sekiranya mereka berkumpul, saya akan menyaman mahkamah, tak tau apa maksudnya, kita hanya boleh saman orang dan negara, bukan mahkamah," katanya.

Katanya, beliau menyaman kerajaan British pada Ogos 2007, tiga bulan sebelum perhimpunan Hindraf dan bukannya seperti apa didakwa oleh Mohan bahawa beliau mengumpulkan orang ramai supaya mereka boleh memfailkan saman terhadap mahkamah British.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap Mohan, Waythamoorthy berkata:

"Itu dinyatakan dalam dewan, beliau dilindungi (daripada tindakan undang-undang)," katanya.

Waythamoorthy dan Mohan bertikam lidah di Dewan Negara semalam. waythamoorthy mencabar senator MIC itu mengulangi kenyataannya di luar Dewan supaya beliau boleh mengambil tindakan undang-undang.

Recommended