SAR dua tentera hilang di Pulau Perak disambung jika ada petunjuk baharu

  • 5 years ago
Misi mencari dan menyelamat (SAR) dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hilang di Pulau Perak, Kedah pada 20 Julai lalu akan diaktifkan semula sekiranya ada petunjuk baharu, kata Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong.

Liew berkata aset ATM sentiasa melakukan pemantauan di kawasan sekitar Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers dipercayai hilang.

“Operasi SAR melibatkan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dihentikan berikutan tiada petunjuk baharu. Operasi SAR akan disambung semula jika terdapat petunjuk baharu.

“Walau bagaimanapun, aset ATM sentiasa melaksanakan pemantauan di kawasan tersebut bagi mendapatkan petunjuk baharu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.