PAS akan kaji kerjasama dengan Berjasa

  • 5 years ago
PAS akan mengkaji hubungannya dengan parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dari semasa ke semasa.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata langkah itu diambil selepas Berjasa mengambil ketetapan untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, 16 November ini.

"Kita tidak setuju dia (Presiden Berjasa) bertanding (PRK Tanjung Piai).

"(Jadi) Kerjasama dengan Berjasa, itu kita akan kaji dari masa ke semasa,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas pencalonan presiden Berjasa, Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dalam PRK Tanjung Piai.

Sabtu lalu, PAS secara terbuka mengarahkan semua ahli dan pengundi parti itu untuk mengundi calon BN dari MCA, Wee Jeck Seng.

Perkara itu diketengahkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan.

Gagasan Sejahtera merupakan pakatan yang mendakwa sebagai blok kuasa ketiga dan diwujudkan pada 2016. Pakatan itu dianggotai PAS, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Pada hari pencalonan 2 November, Berjasa diwakili presidennya Dr Badhrulhisham Abdul Aziz sebagai seorang calon yang bakal bertanding pada PRK itu.