24,600 pekerja swasta diberhentikan kerja sehingga 30 Sept lepas
  • 4 years ago
Sebanyak 24,600 pekerja sektor swasta diberhentikan kerja sehingga 30 Sept lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata daripada jumlah itu, seramai 21,625 orang terlibat dengan pemberhentian biasa, manakala 2,975 pekerja pula terbabit dalam Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

Pekerja terjejas di sektor pembuatan seramai 7,944 orang, sektor aktiviti pentadbiran dan khidmat sokongan (7,309); perdagangan, borong dan runcit (2,123), aktiviti kewangan dan insurans (1,748), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan serta minuman (1,049).

Sementara sektor maklumat dan komunikasi melibatkan seramai 679 orang, katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang ingin tahu jumlah pembuangan pekerja dalam semua sektor sepanjang 2018 dan 2019, serta bilangan peluang pekerjaan yang diwujudkan sepanjang 2019. - BERNAMA