Lindungi masjid dari dicemari oleh kegiatan politik berpuak keterlaluan - Sultan Perak

  • 5 years ago
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, akhir-akhir ini individu-individu daripada kumpulan politik tertentu telah menggunakan beberapa pertubuhan bukan politik dan bukan kerajaan (NGO) untuk menembusi masjid, dan memperkenalkan program tertentu untuk dijalankan dalam masjid dan dalam kawasan masjid.

Titah tuanku, program yang membawa jenama tertentu, dijadikan topeng untuk melindungi niat sebenar yang tersirat.

Baginda bertitah demikian pada Persidangan Jawatankuasa Kariah Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi.

Titah Sultan Nazrin, pemegang amanah yang diberikan tanggungjawab mengurus masjid di negeri Perak, wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama masjid, sebagai institusi menyatupadukan ummah, institusi yang wajib dimuliakan, diimarahkan dan wajib dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya.

“Sedar, musuh utama yang besar mencemari masjid dan memecahbelahkan ummah ialah kegiatan politik berpuak.

“Ummah hari ini berpecah kerana budaya yang diamalkan untuk memancing pengaruh dan mendapatkan sokongan politik, sangat bercanggah dengan ajaran dan nilai murni Islam.

“Mengaibkan dan memburukkan lawan dijadikan senjata utama dan semakin digalakkan, mengatasi usaha untuk melakukan yang makruf, kebenaran sudah dikorbankan kerana emosi sudah mengatasi kerasionalan.

“Fitnah menjadi lumrah, diolah, termasuk oleh kalangan yang mematuhi Rukun Islam yang lima, bersyahadah, menyempurnakan solat, menunaikan zakat, berpuasa dan mengerjakan haji; penyebaran fitnah dipermudahkan dan dirancakkan dengan adanya media sosial,” titah baginda.