UMNO ada pegangan sedikit di Utusan tapi Parti tidak perlu campur
  • 5 years ago
Pemberhentian operasi Utusan Malaysia adalah keputusan perniagaan yang perlu dihormati tanpa perlu perlu bernostalgia dengan sejarah kegemilangan akhbar berkenaan.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata secara peribadi ia sesuatu yang amat malang jika penerbitan akhbar itu dihentikan.

"Secara peribadi tentulah kalau penerbitan akhbar Utusan (Malaysia) diberhentikan ia sesuatu yang agak malang kerana Utusan (Malaysia) ini dia wujudnya sebelum merdeka lagi dan dia adalah satu media bersama beberapa akhbar lain yang memainkan peranan termasuk dalam gerakan membangkitkan nasionalisme dan menuntut kemerdekaan.

"Jadi, sejarahnya lama, tapi kita tidak boleh bernostalgia atas sejarah dalam peniagaan, dia (Utusan Malaysia) harus buat keputusan perniagaan dan kena respek kalau pemegang saham atau ahli lembaga pengarah buat keputusan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Malaysiakini sebelum itu melaporkan, susulan masalah kewangan yang dihadapinya, akhbar bahasa Melayu tertua negara itu akan menghentikan operasinya bermula hari ini.

Satu lagi akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kosmo!turut ditimpa nasib yang sama.

Perkara itu dimaklumkan oleh satu memo dalaman bertarikh 9 Oktober 2019 (hari ini) yang dilihat Malaysiakini.

Menurut memo itu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata syarikat itu tidak lagi solven (mampu membayar hutang) untuk meneruskan perniagaan, walaupun telah melaksanakan beberapa langkah untuk menyelamatkannya.

"Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

"Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019, manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Annuar ketika ditanya sama ada Umno sudah tidak berupaya menyelamatkan Utusan Melayu daripada kemelut yang dihadapinya kini.

Anggota Parlimen Ketereh itu berkata, Umno kini hanya pemegang saham kecil dalam syarikat penerbitan itu dan tidak boleh membuat sebarang keputusan.

"Umno masih pegang sikit, Utusan (Malaysia) membuat keputusan perniagaan dia sendiri, parti tak perlu campur.

"Sebab parti tidak ada kuasa lagi, kita jadi pemegang saham kecil yang tidak boleh buat keputusan," katanya.
Recommended