Rakan media tampil bantu pekerja Utusan
  • 5 years ago
Ketika pekerja Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) diibaratkan nasib seperti mangsa banjir, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) tampil untuk membantu.

Menurut Timbalan Pengerusi NUJ, Farah Marshita Abdul Patah dia berharap dana yang dikumpul dapat bantu meringankan beban pekerja di syarikat Utusan.

“Kami melakukan dana melalui kutipan wang dan juga barang oleh orang ramai dari pagi tadi sehingga ke petang.

“Hari ini, cek sahaja kami sudah dapat kumpul sebanyak RM 20 000 untuk diberikan kepada mereka (pekerja Utusan),” katanya ketika ditemui di Balai Berita, Kuala Lumpur hari ini.

Tambahnya, Farah berkata sumbangan yang diberikan hanya untuk hari ini sahaja dan berasa bersyukur ramai yang hadir untuk membantu.

Barang seperti beras, lampin, gula, telur dan makanan ringan antara yang dihulurkan oleh beberapa pihak antaranya dari Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, wakil dari PAS pusat, NGO Malaysian Outreach Volunteer dan beberapa rakan artis.

Kutipan dana selama enam jam di tempat tersebut turut dibantu oleh beberapa pihak NUJ dan rakan media yang hadir.

Kutipan yang berakhir sekitar jam 4.30 itu kemudiannya dimasukkan ke dalam lori untuk ke pejabat Utusan bagi menyalurkan bantuan ke sana.