'Tak boleh paksa semua belajar tulisan Jawi'
  • 5 years ago
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz tidak setuju dengan pembelajaran seni khat tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu darjah empat di sekolah rendah, yang dijadual bermula tahun depan.

Berucap di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, beliau berkata kerajaan tidak boleh memaksa semua murid untuk belajar seni khat tulisan itu.

"Apabila anda paksa semua orang untuk buat kaligrafi, saya akan jadi orang pertama yang gagal (kaligrafi). Saya cabar anda, anda akan gagal kaligrafi.

"Seperti hal lain, artistik ialah satu bakat. Kita tak perlu bakat seperti itu dimasukkan sebagai bahagian wajib dalam kurikulum di sekolah," katanya yang juga anggota Majlis Tindakan Ekonomi.

Rafidah berkata beliau telah menghantar pesanan teks kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bagi menyuarakan bantahannya terhadap perkara itu.

Terdahulu Kementerian Pendidikan beberapa kali memberi jaminan bahawa pengenalan seni khat, di kedua-dua sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan, hanya melibatkan bahagian kecil dalam mata pelajaran BM dan tidak dimasukkan dalam penilaian.

Untuk rekod, Jawi termasuk dalam aspek seni bahasa - selain bercerita, deklamasi sajak dan nyanyian lagu - dan hanya termasuk dalam enam daripada 24 bab. Hanya enam daripada 162 muka surat buku teks diperuntukkan untuk perkara itu.

Kata Rafidah lagi, lebih baik belajar bahasa berbanding kaligrafi.

"Sistem pendidikan terlalu banyak hal yang mengarut. Jangan saratkan (sistem pendidikan) dengan subjek yang tak perlu dan remeh," katanya lagi.