Penerbit Hollywood pulangkan hadiah Riza Aziz

  • 5 years ago
Penerbit Hollywood Joey McFarland memulangkan beberapa hadiah yang diterima daripada anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz yang didakwa diperolehi dengan menggunakan dana 1MDB yang dicuri.

Menurut Bloomberg, barang-barang itu termasuk poster vintaj "King Kong", lukisan Jean-Michel Basquiat dan beberapa jam tangan mewah.

Nilai barangan itu tidak dinyatakan tetapi menurut saman pelutcahakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), Riza didakwa membelanjakan AS$ 5.4 juta (RM22.18 juta) untuk koleksi poster filem.

Sesetengahnya diberikan kepada McFarland, pelakon Leonardo DiCaprio dan pengarah filem Martin Scorsese.

McFarland dan Riza Aziz merupakan pengasas bersama Red Granite, yang membiayai filem "The Wolf of Wall Street" yang dibintangi DiCaprio dan diarahkan oleh Scorsese.

DOJ mendakwa Red Granite telah menggunakan dana 1MDB yang dicuri untuk membiayai filem berkenaan.

Tahun lepas, syarikat itu bersetuju membayar AS$ 60 juta (RM246.5 juta) untuk menyelesaikan kes itu tanpa pengakuan liabiliti.

DOJ percaya sekurang-kurangnya AS$ 4.5 bilion disalahgunakan dari 1MDB dan dicuci melalui sistem kewangan antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat.

DOJ juga sedang mendapatkan aset bernilai AS$ 1.7 bilion (RM6.98 bilion) yang didakwa diperolehi dengan menggunakan dana 1MDB.

Sebahagian wang itu dikembalikan kepada kerajaan Malaysia, yang sedang berusaha mendapatkan balik dana 1MDB yang didakwa disalahgunakan dari dalam dan luar negara.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak kini menghadapi 42 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa berhubung perkara itu manakala ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dipercayai menjadi dalang dalam skandal itu, kini menyembunyikan diri di luar negara.