Daftar automatik kerana orang kita malas daftar undi - Hadi

  • 5 years ago
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyambut baik cadangan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan pendaftaran pengundi secara automatik tidak kurang pentingnya.

Ini kerana katanya, kebanyakan rakyat Malaysia 'malas' untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Itu kita (anggota parlimen pembangkang) dah bincang, pembangkang dah bincang dan saya bersetuju untuk itu (turun had umur mengundi).

"Tapi apa yang penting (ia didaftarkan secara) automatik sebab orang kita malas daftar undi," katanya di lobi parlimen, hari ini.

Semalam, parti-parti pembangkang - BN, PAS dan GPS - memberi lampu hijau kepada usaha kerajaan untuk menurunkan umur mengundi hingga 18 dengan syarat ia dilakukan melalui pendaftaran pengundi automatik.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini memaklumkan kerajaan perlu membuat pindaan lain dalam Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik (AVR).

Jelas Azhar, kerajaan perlu meminda Perkara 119 (4) Perlembagaan dan Peraturan Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pengundi).

Pindaan peraturan itu perlu dibentangkan di parlimen tetapi tidak memerlukan kelulusan Dewan Rakyat.