Ada sebab Felda tolak 4 resolusi, kata Radzi

  • 5 years ago
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata keputusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FGV Holding Berhad (FGV) semalam menolak empat resolusi untuk pembayaran yuran pengarah sebagai ‘bukan pengakhiran'.

Katanya, ruang perbincangan masih terbuka bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan secara baik.

“Saya baru baca berita itu semalam. Pasti ada alasan tersendiri kenapa Felda putuskan sedemikian. Ia bukanlah pengakhiran.

"Ia boleh diselesaikan melalui perbincangan secara baik dengan pihak yang berkenaan.

“[...] Ia (penolakan resolusi) baru berlaku semalam. Jadi, kita lihat dulu tindakan setersunya pihak-pihak yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Malaysian Gas Symposium 2019 (MyGas 2019) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, pemegang saham utama FGV menolak empat daripada 12 resolusi dikemukakan dalam mesyuarat agung tahunannya.

Pengerusi FGV, Azhar Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat oleh tiga pemegang saham utama mereka iaitu Felda, Koperasi Permodalan Felda (KPV) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Resolusi pertama yang ditolak ialah pembayaran yuran para pengarah bagi tahun kewangan 31 Disember 2018 bernilai RM2,546,044.42.

Resolusi kedua yang ditolak ialah pembayaran sebahagian yuran para pengarah berbayar mulai dari 26 Jun 2019 sehingga mesyuarat agung tahunan syarikat yang berikutnya berlangsung pada tahun 2020 berjumlah RM1,178,400 turut ditolak.

Resolusi ketiga yang ditolak pula ialah pembayaran faedah-faedah berbayar mulai 26 Jun 2019 sehingga mesyuarat agung tahunan syarikat yang berikutnya berlangsung pada tahun 2020.

Manakala resolusi keempat yang ditolak ialah bagi pemberian kuasa kepada para pengarah untuk mengumpukkan dan menerbitkan saham menurut Seksyen 75 Akta Syarikat, 2016.

Bagaimanapun, sebahagian bayaran kepada pengarah membabitkan resolusi pertama yang ditolak telah pun dilakukan hampir RM1 juta.