Kes anak tidak jejas imej saya - Mohamad Sabu
  • 5 years ago
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pertuduhan mahkamah terhadap anaknya, tidak akan mencalar imej beliau sebagai ahli Kabinet Pakatan Harapan.

Katanya, beliau menyerahkan kepada mahkamah menentukan proses undang-undang berjalan sehingga selesai.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri malam tadi.

Baru-baru ini, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Kamarulzaman Mamat mengesahkan Ahmad Saiful Islam, anak kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah dihadapkan ke mahkamah pada 13 Jun lalu.

Kamarulzaman dipetik oleh portal Harian Metro sebagai berkata, Ahmad Saiful, 31, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diberi ikat jamin RM3,000.

“Pihak pendakwa raya sudah menuduhnya pada 13 Jun lalu dan diberi ikat jamin sebanyak RM3,000.

“Tertuduh sedang menunggu untuk dibicarakan di Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya.

Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Anak menteri pertahanan itu bersama seorang lagi rakannya ditahan pada 6 Januari lalu, selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Mereka ditahan dalam Ops Pusat Hiburan Bersepadu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 12.30 tengah malam.

Mohamad sebelum ini juga dilaporkan berkata anaknya sama seperti anak orang lain yang tertakluk kepada proses undang-undang negara.