'Saya akan panggil Md Ali Amir Batcha'
  • 5 years ago
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata berkata bekas pegawai polis Md Ali Amir Batcha, yang didakwa merompak ketika bertugas 20 tahun lalu, akan dipanggil bagi mendapatkan penjelasannya mengenai perkara tersebut.




Abdul Hamid Bador berkata beliau mengambil sikap terbuka dan akan mendengar penjelasan mengenai perkara tersebut walaupun kes tersebut telah lama berlaku.

Menurutnya, beliau akan memberi perhatian dengan isu tersebut.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Baru-baru ini, Md Ali, 65, yang pernah bertugas dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Jenayah Berat (D9) menuntut kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan sebuah tribunal khas bagi menyiasat semula tuduhan palsu berkaitan rompakan membabitkan dirinya pada tahun 90-an.

Md Ali mendakwa menjadi mangsa kepada satu konspirasi dan kini mahu buktikan dia tidak pernah terlibat dalam rompakan tersebut.

Disember tahun lalu, Md Ali menuntut keadilan dan sedia dibicarakan semula di mahkamah selepas ditahan tanpa bicara di bawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997.



Md Ali mendakwa, beliau menjadi mangsa konspirasi apabila dikenakan pertuduhan palsu menggunakan ‘saksi hantu’ oleh Unit Siasatan Dalaman berhubung salah laku rasuah di agensi itu.

Md Ali mendakwa, kejayaannya melumpuhkan kegiatan kongsi gelap di Johor sejak 1995 menjadi perangkap kepada dirinya kerana dipercayai jenayah terancang itu dilindungi oleh anggota polis berjawatan tinggi di negeri itu.