Proses undi awal Rantau bermula

  • 5 years ago
Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula 8 pagi ini selepas dua pusat pengundian masing-masing di Pangkalan Udara (PU) Sendayan dan Balai Polis Rantau, dibuka.

Ia membabitkan seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 pengundi awal dengan lapan daripadanya mengundi secara pos.

Proses pengundian di PU Sendayan, yang merupakan pusat latihan iktisas atau profesional bagi melatih pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam bidang logistik, pentadbiran dan pengurusan, membabitkan seramai 74 anggota tentera serta pasangan.

Di Balai Polis Rantau pula, ia membabitkan seramai 36 anggota polis yang akan menunaikan tanggungjawab mereka.

Proses pengundian awal berlangsung selama empat jam sehingga 12 tengah hari.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram, calon Barisan Nasional iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.