Siti Nurhaliza ahli Bersatu? Ini jawab Mukhriz

  • 5 years ago
Parti Bersatu sama sekali tidak mengetahui nama penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza Tarudin ada dalam senarai calon mereka untuk PRK Semenyih.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau yang terlibat secara langsung dalam proses penilaian dan pemilihan calon untuk PRK itu tidak menemui nama Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam senarai tersebut.

"Itu khabar angin sahaja kot, sebab saya terlibat dalam proses pemilihan calon dan nama dia (Siti) tidak timbul setakat ini dan tak tahulah kalau ada cadangan lepas ni," kata Mukhriz.

Ditanya samada Siti adalah ahli Bersatu, Mukhriz berkata beliau tidak pasti mengenai perkara tersebut.

"Jadi anggota Bersatu atau tidak, itu pun saya tidak pasti," tambah Mukhriz kepada pemberita di Alor Setar semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin kononnya Siti Nurhaliza akan bertanding mewakili PH dalam PRK Semenyih yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan.

Siti Nurhaliza pada 5 Feb juga menafikan khabar angin kononnya beliau akan menjadi calon PH dalam PRK berkenaan.