PAS puji PM sekat atlet Israel masuk Malaysia

  • 5 years ago
PAS menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membenarkan atlet Israel memasuki Malaysia bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak.

Dalam satu kenyataan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan kerajaan itu adalah sangat tepat dan selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Israel dalam sebarang acara bertaraf antarabangsa dan tempatan.

Menurut Abdul Hadi, tindakan kerajaan untuk memboikot dan mengasingkan Israel adalah usaha paling minima yang boleh diambil sebagai signal menentang dan menolak kezaliman regim Zionis Israel yang tidak berperikemanusian, dan wajar dikutuk oleh setiap negara yang bertamadun.

Jelasnya, PAS komited menggerakkan usaha-usaha untuk mengembalikan kebebasan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis Israel dengan penglibatan semua pihak, seterusnya menyeru pemimpin negara umat Islam untuk menunjukkan ketegasan yang sama seperti Malaysia.

Mahathir pada 10 Januari lalu menegaskan Putrajaya tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak antara 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Malah kata Mahathir Malaysia juga bersedia jika penganjur menarik balik hak penganjuran kejohanan tersebut jika mereka tidak berpuas hati dengan pendirian kerajaan.