Lokman Adam hadir beri sokongan pada Azeez Rahim

  • 5 years ago
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dilihat hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi memberi sokongan moral terhadap Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang didakwa atas 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM144.6 juta.

Bagaimanapun, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Beliau dihadapkan dengan tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sembilan pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Untuk pertuduhan rasuah, Abdul Azeez didakwa menerima RM5.2 juta daripada Pengarah Menuju Asas Sdn Bhd Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai habuan kerana membantu syarikat itu mendapat projek pembinaan lebuh raya dan penambahbaikan jalan di Perak dan Kedah.

Transaksi dikatakan berlaku antara Disember 2010 hingga April 2018.

Bagi setiap pertuduhan, Abdul Azeez yang juga bekas pengerusi Tabung Haji boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda lima suapan, mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit bersalah.

Untuk pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa menerima wang haram bernilai sehingga RM139.41 juta daripada empat syarikat iaitu Menuju Asas Sdn Bhd, Mangkubumi Sdn Bhd, Pintas Utama Sdn Bhd, dan AVP Engineering (M) Sdn Bhd.

Transaksi dikatakan berlaku antara 10 Mac 2010 hingga 30 Ogos 2018.

Sementara itu, abangnya Abdul Latif Abdul Rahim juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez berkenaan suapan berjumlah sehingga RM4 juta berhubung projek lebuh raya bernilai RM644.48 juta.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM800,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Azeez, dan RM500,000 beserta seorang penjamin untuk Abdul Latif.